METODE BIMBINGAN LEMBAGA TABUNG HAJI TERHADAP JEMAAH HAJI MALAYSIA: SATU PENILAIAN
Abstract
Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan institusi yang menguruskan simpanan umat Islam Malaysia serta perjalanan jemaah haji Malaysia bermula dari tanah air sehingga sempurna segala urusan yang berkaitan. Salah satu aspek terpenting ialah bimbingan ibadah jemaah haji yang menjadi nadi kepada perjalanan suci tersebut. Terdapat tanggapan yang mengatakan bahawa pendekatan bimbingan ibadah haji dan umrah yang dibawa oleh TH adalah terlalu sempit, rigid, keras dan tidak mesra jemaah. Persepsi ini mengundang fitnah terhadap kredibiliti TH dalam mengendalikan urusan haji jemaah Malaysia. Justeru, kertas ini akan menyorot metode bimbingan TH kepada para jemaah haji Malaysia serta membuat penilaian ringkas terhadapnya. Kajian menggunakan metode analisis dokumen dan temu bual dan seterusnya dianalisis menggunakan metode analisis kandungan dan perbandingan. Kajian mendapati TH mempunyai pendekatan dan manhaj yang tersendiri dalam bimbingannya terhadap jemaah haji Malaysia. Ia dikawal selia oleh badan tertinggi yang dikenali sebagai Ahli Jawatankuasa Pakar Rujuk Ibadah Haji TH-JAKIM (AJPIH). Dari aspek manhaj pengambilan rujukan, keseluruhan rujukan yang digunakan adalah berautoriti yang menggambarkan kredibiliti yang ada pada bimbingan TH ini. Bimbingan yang dikemukakan menepati pendekatan ulama mazhab al-Shafi‘e, di samping panel pengarang juga memiliki pendekatan yang agak fleksibel ketika membincangkan permasalahan hukum yang tertentu. Kajian ini dapat menyumbang saham dalam merungkai kemusykilan yang dilontarkan secara ilmiah dan kritis. Kesimpulannya, bimbingan haji dan umrah kepada golongan sasaran sewajarnya terus diberi penekanan dan diperkasakan pendekatannya agar semua pihak mendapat manfaat daripadanya.
Downloads
This work is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License.